Friday 22 July 2011

Syukur

Setelah kau memberi, kau dikhianati
Setelah kau menyayangi, kau dibenci
Setelah kau bersangka baik, kau dimusuhi
Setelah kau berbuat baik, kau dizalimi..

Andai kata kau benar, maka yakinlah akan kebenaran
Andai kata kau silap, maka belajarlah dari kesilapan
Andai kata kau ragu, maka jauhilah keraguan
Andai kata kau takut, maka takutlah hanya pada Tuhan..

Diberikan kebaikan,
Juga diberi keburukan,
Tidak lengkap keduanya tanpa keadilan.
Sesungguhnya ALLAH itu Maha Adil dalam pengaturan,
Kita hanya merancang, ALLAH jua menentukan..

Setiap yang terjadi, ada ibrahnya
Setiap yang wujud, ada tujuannya
Setiap yang berlaku, ada hikmahnya
Setiap yang berlalu, ada masa depannya
Dan ALLAH Maha Mengetahui segalanya..

Saat kau fikir kau ditinggalkan, masih ada yang menjejakimu
Saat kau fikir kau dijatuhkan, masih ada yang mengangkatmu
Saat kau fikir kau bersendirian, masih ada yang menemanimu
Itulah kelebihan ukhwah fisabillah yang ALLAH aturkan dalam hidupmu..

Adakah lama satu penantian di dunia ini,
Sekiranya dibandingkan dengan kehidupan akhirat yang abadi?
Adakah sukar satu kesabaran,
Sekiranya dibandingkan dengan ganjaran yang lumayan?
Adakah perit kesakitan itu,
Sekiranya dibandingkan dengan kenikmatan yang jitu?
Adakah susah untuk bangkit,
Sekiranya dibandingkan dengan peluang yang membukit?

Bangkitlah wahai diri..
Yakinlah dengan janji yang diberi..
Tabahlah wahai hati...
Redhalah dengan ketentuan ILAHI..

... Ibu Nora ...

No comments: