Sunday, 29 July 2012

Ingatkan Aku...

Setiap kali aku berasa sepi
Ingatkan aku ya Allah
Bahawa aku tak pernah sendiri
Setiap kali aku gembira
Ingatkan aku ya Allah
Bahawa hidup ini penuh cabaran...

Setiap kali aku jatuh dan tersungkur
Bangunkan aku ya Allah
Tiupkan pada ku semangat untuk maju
Agar jatuh pada kali ke 7 dan bangkit untuk ke 8
Celikkan mataku pada pintu pintu lain yang terbuka
Dan tidak merenung pada pintu yang telah terkunci
Sesungguhnya aku insan yang lemah
Gagah sekejap goyah berpanjang...

Setiap kali aku leka ya Allah
Sedarkan aku pada maut
Ingatkan aku pada tanggungjawab
Agar aku hidup bagai seribu tahun berbudi
Supaya ibadat ku bagai mati sedetik lagi
Buka minda ku untuk kembali ke titi yang lurus
Hindari aku dari keseronokan duniawi...

Setiap kali aku berasa rasa
Ingatkan pada ku bahawa segalanya dari Mu
Usah amarah ku meracun hati
Jangan takbur ku memakan diri
Jauhkan aku daripada dengki dan iri
Padamkan kecewa ku yang menggunung
Lindungi aku dari kezaliman dunia
Ingatkan aku ya Rahman
Ingatkan aku ya Rahim
Semuanya milik Mu dan hanya kepunyaan Mu
Ingatkan bahawa aku cuma menumpang anugerah Mu
Maka tidak layak bagi ku untuk berasa rasa...

Setiap kali aku meminta lagi
Pada sesuatu yang sangat ku mahu
Pada sesuatu yang sangat ku impi
Namun tak dapat ku kecap
Tidak ia hinggap walau sekejap
Ingatkan aku ya Allah
Bahawa usaha itu ditangan ku
Namun ketentuan itu hanya milik Mu
Dan jika aku terus meminta
Merintih dan mendesak
Ingatkan aku ya Allah
Bahawa Kau Maha Mengetahui setiap sesuatu
Bahawa segala yang ku mahu tak semestinya yang terindah
Bahawa segala yang ku benci bukannya tercela...

Dan jika nanti aku berhenti berharap
Sedarkan aku ya Allah
Bahawa pada Engkaulah aku perlu terus meminta
Ingatkan aku pada kuasa doa
Yang tertuju hanya pada Mu
Ingatkan aku ya Allah
Bahawa Kau ialah Maha Pencipta
Tiada yang mustahil bagi Mu
Yang mewujudkan segala yang tiada
Ingatkan aku ya Allah
Agar terus ku memanjatkan doa
Tanpa henti tanpa jemu
Dan ingatkan aku
Bahawa doa itu hanya pada Mu...

Dan andai satu hari nanti
Kau perlihatkan lagi kebesaran Mu pada ku
Ingatkan aku ya Allah
Untuk bersyukur pada Mu
Ingatkan aku sekali lagi
Bahawa Kau ialah Al-Khaliq
Maha Mencipta Segala Sesuatu
Ingatkan aku
Agar keajaiban itu mendekatkan ku lagi pada Mu...

Dan tika aku meminta cinta yang lain
Maka ingatkan aku bahawa ianya fana
Cinta itu mungkin tertolak dan digelak
Ingatkan aku ya Allah
Cinta itu takkan seindah kasih dan sayang Mu
Cinta itu tak mungkin sehebat cinta Mu
Maka ingatkan aku
Agar cinta itu takkan pernah melebihi cinta pada Mu
Moga ia membawa ku mendekati Mu
Dan moga cinta ku padanya adalah kerana agamanya
Yang tika imannya hilang melenyap
Maka terpadamlah cinta ku padanya...

Dan sesungguhnya ya Allah
Aku seorang insan yang lemah
Maka ku mohon diperkuatkan semangat
Agar resmi ku sama seperti si padi
Makin berisi makin menunduk
Usah resmi ku bagai lalang
Meliuk lentuk ditiup angin
Mendabik tinggi tatkala berisi
Ingatkan aku ya Allah
Untuk terus meminta pada Mu
Dan hanya pada Mu...

Ingatkan aku ya Allah
Supaya selalu meluruskan niat
Agar ibadat ku hidup ku dan mati ku
Hanyalah untuk Mu...

No comments: