Tuesday 23 August 2011

Bicara Diri Yang Sering Lalai

Wahai diri yang hina
Dalam duduk tafakur ini
Aku mahu mengajak mu bicara
Tentang perihal aku adalah diri mu

Aku ingin menegur mu
Kerana ku perhatikan bebas mu
Membawa ku ke jurang kebinasaan
Hampir tak kesedaran oleh ku

Buruk ku lihat tingkah mu
Semakin membunga sombong mu
Kian berputik bibit-bibit riak mu
Seluruh pujian telah mengaburi mu

Sudah ku bilangkan berkali
Sudah ku bekalkan pesan sebelum ini
Jangan sesekali merosakkan nilai mu
Kerana selingkuh mu dengan dunia ini

Lupa sudahkah pada asal usul mu
Saat di hamburkan segunung pujian
Dilonggokkan seluas lautan nikmat dunia
Dari mana datangnya diri mu
Tidak malukah kepada Tuhan Mu
Yang selalu memerhati mu

Bukankah dikatakan oleh Rabb mu
DariNya engkau datang dan kepadaNya engkau dikembalikan
Tidak bergetarkah hati mu saat merenungi kalamNya
Tapi engkau hanyut disibukkan oleh kelalaian mu

Sungguh aku malu kerana aku adalah diri mu
Sungguh aku malu menjadi hamba Tuhan mu
Dalam keadaan telanjang tubuh mu tanpa hijab
Dipenuhi kudis-kudis dosa hasil dari tanaman mu

Wahai diri yang hina
Seperti maraknya api neraka
Ku rasakan membahang hangat membakari
Seperti dibaringkan di atas duri-duri yang tajam
Tidak tertahan seolah-olah sebiji batu sebesar bukit
Sedang menghempap ku

Mahukah engkau mendapat siksa lebih daripada itu
Azab yang tak termampu di ukir dengan kata-kata
Yang tiada dapat kau lari daripadanya
Melainkan dengan sebab belas kasihan Tuhan mu

Wahai diri
Jangan terus tenggelam dalam permainan nafsu
Jangan kerananya kita berdua di intai sesal tak kesudahan
Jangan disebabkan pujian melangit,harta menimbun
Ilmu seluas lautan,kebaikan seluas mata memandang
Tapi kerana setitis riak,seberkas takbur,segenggaman haloba
Kita hanya memiliki kebebalan dan kemunafikkan

Wahai diri yang penuh kehinaan
Sebelum ku kembalikan kita ke alam nyata
Alam yang akan menghilangkan manisnya rasa iman
Alam yang akan menyatukan engkau pada dunia dan makhluk lain
Ingatlah teguran-teguran ini seumpama ingatkan hari mati mu
Kerana ia adalah sebaik-baik nasihat yang disukai
Oleh jiwa-jiwa yang tenang

Semoga engkau menjadi teman karib ku
Dan sekiranya kita berjaya melepasi ujian di dunia ini
Mudah-mudahan kita dipermudahkanNya
Untuk bersama sama mereka yang telah di beri
Sebesar-besar kehormatan TuhanNya
Untuk menjadi sebahagian ahli syurga


Hamba Allah yang kecil dan aib.. kepadaMu serahi baki daripada usia ini...semoga Engkau titipkan rahmat dan keampunanMu...

No comments: