Tuesday, 23 August 2011

Bicara Diri Yang Sering Lalai

Wahai diri yang hina
Dalam duduk tafakur ini
Aku mahu mengajak mu bicara
Tentang perihal aku adalah diri mu

Aku ingin menegur mu
Kerana ku perhatikan bebas mu
Membawa ku ke jurang kebinasaan
Hampir tak kesedaran oleh ku

Buruk ku lihat tingkah mu
Semakin membunga sombong mu
Kian berputik bibit-bibit riak mu
Seluruh pujian telah mengaburi mu

Sudah ku bilangkan berkali
Sudah ku bekalkan pesan sebelum ini
Jangan sesekali merosakkan nilai mu
Kerana selingkuh mu dengan dunia ini

Lupa sudahkah pada asal usul mu
Saat di hamburkan segunung pujian
Dilonggokkan seluas lautan nikmat dunia
Dari mana datangnya diri mu
Tidak malukah kepada Tuhan Mu
Yang selalu memerhati mu

Bukankah dikatakan oleh Rabb mu
DariNya engkau datang dan kepadaNya engkau dikembalikan
Tidak bergetarkah hati mu saat merenungi kalamNya
Tapi engkau hanyut disibukkan oleh kelalaian mu

Sungguh aku malu kerana aku adalah diri mu
Sungguh aku malu menjadi hamba Tuhan mu
Dalam keadaan telanjang tubuh mu tanpa hijab
Dipenuhi kudis-kudis dosa hasil dari tanaman mu

Wahai diri yang hina
Seperti maraknya api neraka
Ku rasakan membahang hangat membakari
Seperti dibaringkan di atas duri-duri yang tajam
Tidak tertahan seolah-olah sebiji batu sebesar bukit
Sedang menghempap ku

Mahukah engkau mendapat siksa lebih daripada itu
Azab yang tak termampu di ukir dengan kata-kata
Yang tiada dapat kau lari daripadanya
Melainkan dengan sebab belas kasihan Tuhan mu

Wahai diri
Jangan terus tenggelam dalam permainan nafsu
Jangan kerananya kita berdua di intai sesal tak kesudahan
Jangan disebabkan pujian melangit,harta menimbun
Ilmu seluas lautan,kebaikan seluas mata memandang
Tapi kerana setitis riak,seberkas takbur,segenggaman haloba
Kita hanya memiliki kebebalan dan kemunafikkan

Wahai diri yang penuh kehinaan
Sebelum ku kembalikan kita ke alam nyata
Alam yang akan menghilangkan manisnya rasa iman
Alam yang akan menyatukan engkau pada dunia dan makhluk lain
Ingatlah teguran-teguran ini seumpama ingatkan hari mati mu
Kerana ia adalah sebaik-baik nasihat yang disukai
Oleh jiwa-jiwa yang tenang

Semoga engkau menjadi teman karib ku
Dan sekiranya kita berjaya melepasi ujian di dunia ini
Mudah-mudahan kita dipermudahkanNya
Untuk bersama sama mereka yang telah di beri
Sebesar-besar kehormatan TuhanNya
Untuk menjadi sebahagian ahli syurga


Hamba Allah yang kecil dan aib.. kepadaMu serahi baki daripada usia ini...semoga Engkau titipkan rahmat dan keampunanMu...

Monday, 15 August 2011

Bicara Tanpa Suara

Diam itu lebih baik dari berbicara
Biarlah..
Jika setiap bicara itu menikam jiwa
Tak perlulah berbicara
Biarkan saja
Sepi aku tanpa bicara
Lidah kelu tak terkata
Hanya kerdipan mata yang mampu berbicara
Setelah setitik demi setitik air mata mengalir
Memberi makna kesakitan di jiwa
Hanya itu yang ku mampu
Berbicara tanpa suara
Tanpa suara aku terus berbicara
Mengenai cinta,mengenai rindu,mengenai impian
Di sini aku menumpang teduh
Menghiburkan hati menggoncangkan alam kasih
Menundukkan hati yang sepi
Ku lontarkan bicara ku dengan nafas yang satu
Ku bisikan segala bicara ku dengan janji yang satu
Namun sesekali aku tunduk terkelu
Tewas pada permainan rindu
Hari ini aku diam seribu bahasa
Aku hanya lontarkan rasa di bicara tanpa suara
Kerana di waktu ini sepi mengusik diri
Ke manakah harus untuk ku langkahi
Sedangkan hati ini di sarati dengan rindu
Sedangkan jiwa ini tiba-tiba di himpit sepi
Sedangkan rasa kosong membelenggu hati
Biarlah aku terus berbicara tanpa suara
Seandainya itu mampu memujuk hati ku sedang berkelana
Diam..Sepi menemani lagi..
Yang kedengaran cuma suara hati yang tidak keruan
Di sini juga ada hati yang bahagia
Bila bertemu dia yang tercinta
Ada jiwa yang tersiksa
Bila diam tanpa suara
Semuanya di sini
Di taman penuh warna warni..

... Ibu Nora ...
15/08/2011.. 10.11 am

Saturday, 13 August 2011

Terima Kasih Sahabat

Terima kasih
Telah membuat ku kagum
Telah membuat ku tertegun
Mengingatkan ku dalam kelemahan ku
Menjadi cermin atas ilmu ku yang lusuh

Terima kasih
Telah membuat ku bangkit sedar
Telah membuat ku tidak gentar
Mempertahankan ragu
Khuatir akan pesona yang pudar
Mulia di sisiNya.. mengikut sunnah dan rasulnya

Terima kasih
Telah membuat ku tak sendiri
Telah membuat ku bangkit
Telah membuat hati ku tidak lagi sakit
Yakin akan yang terbaik dariNya
Sentiasa ikhtiar.. tak berputus asa lupakan kecewa

Terima kasih
Telah membuat ku tak sendiri
Telah membuat ku kuat dalam hidup ini
Dalam dakapan silaturrahim
Dalam naungan taqwa menuju redhaNya
Saling menghormati.. saling memotivasi

Terima kasih..
Telah membuat ku terus berkarya
Telah membuat ku berharga
Meski dengan cara yang sederhana.. jujur
Rasa itu indah.. menambah syukur ku.. menopang letih ku

Terima kasih
Telah membuat tersenyum dan tawa
Telah membuat ku ceria dan bahagia,
Mengobarkan kembali semangat ku, memberi ruang dalam hati mu

Sahabat
Engkau inspirasi bagi ku
Mengingatkan ku di tengah alpa ku
Menjaga ku tengah lalai ku
Mendoakan ku meski aku tak pernah tahu

Terima kasih sahabat

... Ibu Nora/Ana Islam ...
22.03.2011- 10.13 am

Friday, 12 August 2011

Untuk Mu Yang Bergelar Sahabat

Sahabat ku
Aku ingin menulis
Aku ingin memperkatakan
Aku ingin bicara
Sesuatu tentang diri mu

Mengapa memilih mu di antara sejumlah ramai
Untuk saling berkongsi rasa
Pahit dan manis
Susah dan senang

Sahabat ku
Aku memilih mu kerana Allah
Kerana diri mu memang sahabat
Di antara ramainya sahabat
Kerana aku memang senang pada kapan
Bila saat bersama mu

Sahabat ku
Aku memilih mu bersahabat
Bukan bukan menginginkan perhatian
Bukan kerana mencari sekelumit kasih sayang
Kerana nilai persahabatan kita lebih dari itu
Sebabnya.. Sahabat ku
Kita tidak perlu mencari ruang keterbukaan
Meraih perhatian dalam keterluangan
Kerana bersahabat jujur nilainya lebih dari itu

Sahabat ku
Kerana aku tidak belajar lebih dari menghargai erti bersahabat ini
Tidak ku fikirkan siapapun diri mu di luar sana
Tetapi jika diri mu memerlu apa pun jua dari sahabat kecil mu ini
Sesungguhnya...
Ia sangat sangat mengharapkan
Memenuhi setiap satu keperluan sahabatnya..
Untuk mu yg bergelar sahabat...

... Ana Islam/Ibu Nora ...

Berkatalah Wahai Hati

Berkatalah wahai hati.. Bila kamu punya rasa...
Berbicaralah wahai hati.. Apa yang membuat mu memerah...
Bersatulah wahai hati dan fikiran.. Untuk berkata kepadanya...
Jangan kau kubur rasa itu.. Jangan kau sumbat dengan ketakutan mu...

Diam tidak akan menjawab segalanya...
Diam hanya akan mematikan keberanian mu...
Diam akan menjadikan mu pecundang...
Berkatalah wahai hati...
Walau sikap mu telah menjawab segalanya tentang rasa itu...
Walau akhirnya kau tahu jawapan dari kejujuran itu iaitu kesedihan...

Diri terlalu lama menimbun keberanian itu...
Hati terlalu lama berdiam diri...
Sehingga hati tidak dapat bersuara...
Segelap apa pun awan hitam hujan akan menyingkirkannya...
Dan tidak ada yang bisa menghalangi sinar matahari...
Sebesar apa pun perasaan itu yang ku pendam...
Pastinya ada rasa yang ingin ku ungkapkan...

Jangan biarkan hati membisu terlalu lama...
Jangan biarkan kekosongan terus mengisi jiwa...
Cubalah untuk berkata.. Cubalah untuk bertindak...
Jangan menyerah sebelum kaki melangkah...
Jangan pernah berfikir sulit kerana dir mu belum terbelit...

Ketika rasa datang menutup sebuah kesedihan...
Jiwa yang terbalut awan hitam kian hari kian hilang...
Bersama menyejukkan rasa...
Rasa yang tersembunyi tidak siapa ketahui...
Menjalar di setiap relung hati...

Hanya waktu yang dapat membuka hati ini...
Dan hanya hati yang tahu apa yang hati rasa...
Hati hanya ingin menjaga kejernihan hidup ini...
Terlalu banyak bayang yang menyelimuti hati ini...
Tapi hati tetap bertahan dengan caranya sendiri...

Terima kasih kepada "Sahabat" yang mendengar keluhan hati...
Nasihati diri tetap bertahan hingga waktunya tiba...
Kerana rasa merubah segalanya...
Sering ingatkan demi sebuah proses pendewasaan dalam satu kehidupan....

... Ibu Nora ...

Thursday, 11 August 2011

Muzik Ini

Muzik ini sangat mendamaikan
Menyusuk kalbu...menenangkan
Bagai mendekat jiwa ku terasa
Bercantum dengan alam kehidupan

Ya Allah
Getaran alunan muzik ini
Menggema kesyadhuan jiwa ku
Seolah-olah susur kedekatan
Semakin menyelak menyerlah
Jalan ke ribaan Mu

Tuhan ku
Asyik ku di buai alunan ini
Sukma ku mendendang kicau
Kerinduan.. tetiba tersangat harap
Merindukan Mu.. diam ku tangisi

Ya Tuhan.. Pemilik Jiwa ini
Alun muzik mendamaikan ini
Melontarkan diri ku ke kubang kejiwaan
Terasa begitu tenang dan bahagia
Seperti hanya aku dan Engkau

Ya Ar-Rahman
Ku sujudkan hati ku pada Mu
Ku zikirkan asma Mu dalam sebak
Aku merindui Mu.. sangat sekali
Ya Allah... pasti aku bertemu Mu
Aku menyimpul harap...

... Ana Islam/Ibu Nora ...

Wednesday, 10 August 2011

Aku Hamba Ilahi

Kadangkala kegelapan itu lebih tenang dari cahaya
kerana tiada mata yang mampu membaca
apa yang terbuku di dada.

Ada waktunya, sibuk itu lebih tenang dari lapang
kerana tiada detik untuk berhenti seketika
dan jiwa menjadi terlupa sementara.

Kadangkala memikirkan syurga membuatkan aku lebih takut
kerana memikirkan hakikat
bahawa kebarangkalian untuk aku terkecuali
dari menjadi isinya
adalah terlalu besar.

Tuhan,
aku tidak pernah berhenti berharap
walaupun untuk seketika
kerana aku terlalu sedar bahawa
Kaulah yang paling berkuasa.

Kalaupun aku berhenti bicara
dan aku menunduk sepi
bukanlah ertinya aku membenci
bukan juga aku ingin menjauhi
aku cuma hamba Ilahi
aku tertakluk kepada segala ujianNya
yang kadangkala tidak seperti yang diingini.

Kalau laut bisa membisikkan ketenangan
sudah ku renangi sejauh yang termampu
Kalau rimba bisa memberi kesenangan
sudah ku redahi sepenuh hati

Tapi tenang itu tidak mampu di beri oleh makhluk.
Ia milik Sang Khaliq
Dan menarilah wahai hati dalam takdir Tuhan mu
Dia tidak menzalimi
Dia cuma menguji
Agar syurga itu akhirnya di penuhi isi
Subahanallah...

... Ibu Nora ...

Ayuh! Bangunlah..

Berkali-kali kau bilang
kau tidak mampu
Sedang kau punya ruang
kau diberi peluang
masih juga kau bilang
kau tidak mampu

Cuba hayati diri sendiri
kau punya dua tangan dan kaki
bisa melihat ke kanan dan kiri
mampu bernafas dengan sempurna sekali

Cuba hayati sekali lagi
tiap denyut nadi
dan degupan jantung yang berlari
seolah-olah tidak akan berhenti
malah selari
cantik sekali

Apakah kau fikir ini semua diberi
tanpa perlu kau syukuri?
tanpa perlu kau hargai?
atau kau sendiri yang cuba menafi?

Astaghfirullah...

Pandanglah dengan mata hati
Fikirlah dengan akal yang diberi
Mengapa masih membatu?
Mengapa mahu terus bisu?
Mengapa dibiarkan kaki mu kaku?

Ayuh! Bangunlah!
Bangkitkan roh dan jiwa
Meniti dan terus mencari
Apa sebenarnya kehidupan duniawi

Ayuh! Bangunlah!
Bangkitkan hati yang mati
Jernihkan kekeruhan diri
Agar hidayah Allah dapat kau kecapi
Bersama redha dari Ilahi

Ayuh! Bangunlah!
Iman yang ada pasti berkata
kau sebenarnya bukan TIDAK MAMPU
sebaliknya hasutan yang sering membelenggu mu
agar kau TIDAK MAHU!
Na'uzubillah

... Ibu Nora ....

Tuesday, 9 August 2011

Aku Yang Ingin Tahu

Gamitan yang datang.
Beritahulah daku,
Apakah ros itu mengeluarkan harum?
Beritahulah daku,
Apakah awan mendung itu menurunkan hujan?
Di dunia ini...
Di dunia ini...

Gamitan siapa?
Yang membuatkan bulan tersenyum di langit malam,
Berteman kelip-kelip berterbangan,
Dalam kegembiraan suasana sepi.

Ku renung semua ini,
Minda ku terawang-awang,
Ke satu tempat yang jauh, tak diketahui.

Siapa yang tinggikan langit supaya kita boleh hidup dan melihat?
Yang turunkan hujan yang halus dan lembut membasahkan diri mu dan diri ku?
Siapa beri ku mata yang jelas supaya aku boleh melihat bulan dan perjalanannya?

Dialah mengajar ku cinta yang sembunyi dalam jalan impian ku.

Siapa yang meletakkan kasih dalam hati ku?

Yang meletakkan tangan di dada ku semasa ku nestapa dan gelisah,
Dia membuat ku menangis dan dia membuat ku tersenyum bahagia.

Jangan biar ku lupa akan kenangan emas kita.

Dan dunia dan isinya berjalan dalam aturannya dan insan yang baru datang setiap hari,
Dan esok mereka akan berkata tentangnya,
Di dunia ini...
Di dunia ini...

Muhasabah Diri

Malam ini,
Bukalah mata hati
Untuk cuba memahami...

Kebaikan yang kita ada
itu sebenarnya kelebihan Dia Yang Mencipta
Kita ini tiada apa
Hanya sekadar merasa
Itu juga kerana izin dariNya
kerana Dia Yang Menakluki segala...

Malam ini,
Bukalah mata hati
Untuk cuba memahami...

Dugaan dan ujian
Yang jadi pengalaman
Yang jadi pengajaran
Itu semua adalah keadilan dariNya Pemilik Nyawa
Kita ini tiada apa
Tapi selalu salah sangka
Itu kerana lemahnya kita
Lemahnya diri seorang hamba
Sedang Dia Maha Mengetahui tiap perkara...

... Ibu Nora ...

Monday, 8 August 2011

Dengan Bait Bicara

Aku tak tahu bagaimana hendak bermula
Aku juga tak tahu bagaimana nak bercerita
Takut nanti hati mu kian terluka
Dengan bait bicara
Namun perlu kau tahu
Hati ku terhiris sayu
Mungkin silap ku
Benar salah ku
Menghampiri melewati batasan itu..

Berulang kali kemaafkan aku pinta
Melukakan hati mu tanpa sengaja
Dan kau terdiam tanpa kata
Saat aku meluah segalanya
Tanpa aku ketahui
Tanpa aku peduli
Hati mu aku calari
Untuk kesekian kali..

Lalu
Dari bingkisan
Aku hulurkan kemaafan
Namun begitu
Perlu kau tahu
Hati ku..
Kasih ku..
Juga telah retak seribu
Untuk bermula semula
Biarlah masa menentukan semuanya...

... Ibu Nora ...

Friday, 5 August 2011

Buat Mu Teman

Buat mu teman.. Hati ini masih risau gundah dan lelah kerana amanah yang di berikan Allah masih belum kita laksanakan dengan sempurna..
Teman.. kita alpa dengan harta dan segalaneka nikmat dunia.. Masih sedarkah kita dengan hutang dengan Maha Penghitung?
Teman.. Tubuh sempurna kita hanyalah pinjaman dariNYA.. Hari ini kita gembira dengan kecantikan,kegagahan,kehebatan.. Kita angkuh dengan apa yang di miliki malah kita mempertikaikan jika kehendak hati tidak di penuhi..
Teman.. Makin lama kita berada di alam dunia ini.. Makin singkat umur kita.. Sedarkah kita maut senang memerhatikan kita? Soalnya bila? Di mana? Dan bagaimana? Jawapannya hanya ada pada Maha Khalid..

Teman.. Ku coretkan bingkisan ini untuk kita bukan untuk membangga atau meraih domba.. Tidak teman.. Kerana aku merasa kau adalah sahabat seagama ku dan kau bukan musuh ku.. Dunia kita makin tua.. Masalah durja makin banyak menimpa.. Ayuh teman.. Sama samalah kita berjuang dan berdoa agar hutang dan amanah kita denganNYA dapat kita langsaikan..
Teman.. Bisikan suara hati ku ini bukan palsu tapi bukan juga untuk mencari jawapan buntu.. Tapi aku inginkan semangat dan kekuatan dari mu teman...

Andainya ajal menjemput ku dulu.. Kau teruskanlah perjuangan ini.. Jadikan nabi Allah, para sahabat dan ulama sebagai kekuatan kita.. Ikutlah dan contohi mereka..Jangan sesekali menentang dan mencaci mereka.. Mereka insan mulia pilihan Tuhan.. Syurga mereka sudah dijanjikan tetapi syurga kita? kita hanya pandai mengolah cerita tapi tidak mampu untuk mencorak dan menggerakkannya..
Teman.. Kaulah harapan agama,keluarga,bangsa dan negara.. Teguhkan tekad mu, kecapi kejayaanmu dan gapailah segala kekuatan yang kau ada untuk agama Islam ini..
Teman.. Musuh-musuh kita bukan bergelar manusia sahaja tapi musuh kita yang paling keji adalah SYAITAN.. Hindarilah segala kemaksiatan yang akan membawa kepada kehancuran.. Jangan kita sesekali mengundang bala Tuhan kerana akan membawa kita kepada kerosakan dan kesakitan...

Bisikan akhir dari ku moga kita istiqamah dalam perjuangan.. Jangan sekali-kali kita berundur kebelakang.. Dan jangan sekali-kali kita perpatah arang.. Bangkitkan rasa, bukakan minda dan gunakan segala apa yang ada untuk mempertahankan agama ini..
Teman.. Doakanlah aku juga agar senantiasa beristiqomah dan sentiasa diberikan kekuatan dari yang Maha Khalid untuk menerusi hari-hari yang mendatang.. Salam ukhwah dari ku...

... Ibu Nora ...

Kecamuk

Gesekan waktu terus beralun merdu
Lentera harapan yang dulu di kalbu
Kini terpasung dalam cengkaman yang membuku
Aku keliru aku dihiris sendu
Segala janji-janji dulu rupanya palsu
Dalam bicara rindu rupanya ada racun yang dipalu

Mengapa perjalanan ini dianggap mainan
Sedang hati mula mengharap kebahagiaan
Kepercayaan..kesetiaan dan keyakinan rupanya hanya igauan
Bongkah kasih bertukar cecair di lautan
Semuanya takdir yang telah di tentukan

Tiada lagi dia di hati ku…..
Cukup sampai aku berdendang waktu
Kerana hati telah yang tercalar tidakkan mampu untuk di satu
Pergilah.. pergi kau mencipta lagu
Jauhla.. jauhla kau di hati ku
Moga tiada lagi memori dulu
Biar ku simpan rasa di kalbu
Biar luka yang terhiris menyelinap ke rongga ku..

... Ibu Nora ...

Bicara Aku Sahabat Mu

Bertemu kerana takdirNya
bicaramu sahabat,gelak-tawamu
marah-rajukmu menjadi rutin pada diriku

Tak pernah terfikir
punya kawan dan lawan sehebat ini
punya teman bicara yang kekadang santai
terkadang lawan dalam bermain emosi

Jauh tidak pernah berilusi
punya sahabat sejujur ini
tidak pernah berkias tutur-kata
tidak pernah memesong arah

Bukan sekali-dua
kata berlapik emosi
menerjah ruang hati
terkadang ada esak kecil
dalam bersahaja

Tetapi dirimu...
memang sahabat
dari banyaknya
yang pernah kukenali
tiada duanya...

Maaf sahabat...
jika ada kala aku terlihat
seperti orang asing tak dikenali
bukan kerana dirimu tidak pantas
mengenali sejauh mata memandang

Tetapi sahabatmu ini
seperti pernah katanya
hanyalah kunang-kunang berkelip
di celah hadirnya malam

Sahabat...
Tidak pernah lebih kuharapkan
selain dahulukan kemaafan
jika sedar tak sedarku
pernah menghiris hati kecilmu
siapa tahu esok atau lusa
kita tak akan ada waktu pertemuan

Sungguh...sebenarnya
aku tak pernah berasa hati...

Ibu Nora/Ana Islam...Jumaat 25/03/2011

Wednesday, 3 August 2011

Aku Yang Pasrah

Semalam aku kelukaan
kecewa kehampaan
mencalar ketabahan

Mimpi yang sering ku harapkan
menjadi kenyataan
namun tak kesampaian.

Allah…
Ingin ku hentikan langkah ini
bagaikan tak mampu untuk ku bertahan
semangat tenggelam
lemah daya
haruskah aku mengalah
namun jiwa ku berbisik
inilah dugaan.

Dan langkahku kini terbuka
pada hikmah dugaan
menguji keimanan.

Tak dilontarkanNya ujian
di luar kekuatan
setiap diri insan.

Allah…
Pimpinlah diri ku
untuk bangkit semula
meneruskan langkah
perjuangan ini
cekalkan hati dan semangat ku
kurniakan ketabahan
agar mimpi jadi nyata
pada Mu ku meminta.

Daku mohon agung kudrat Mu,
wahai Tuhan yang satu,
segalanya dari Mu.

... Ibu Nora ...